Semua orang mengakui, bahawa Islam adalah agama persaudaraan, perpaduan dan silaturrahim atau agama yang saling menghubungkan kasih sayang sesama Islam, saudara, keluarga dan juga sesama manusia. Islam agama yang mengatur manusia cara hidup yang terbaik, hidup bersaudara, bersilaturrahim dan bersefahaman. Ini berdasarkan anjuran dari al-Qur'an dan juga Hadith-hadith Nabi s.a.w. Antaranya di dalam al-Qur'an Allah s.w.t ber-firman :
Maksudnya :
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertaqwalah kamu kepada Allah s.w.t supaya kamu beroleh rahmat".
(S. Al-Hujuraat : 10).
Sebuah Hadith Nabi s.a.w turut menegaskan ketika ditanya tentang manusia yang terbaik, dalam sabdanya yang bermaksud :
"(Orang yang terbaik di antara mereka) ialah orang yang paling bertaqwa kepada Allah s.w.t. Dan orang yang paling erat hubungan silaturrahimnya (sesama keluarga atau saudaranya). Dan orang yang paling banyak mengajak kepada kebaikan serta orang yang paling banyak dalam melarang berbuat kemungkaran". (HR At-Thabrani).
Inilah asas hidup bersilaturrahim atau bersaudara dalam Islam. Manusia tidak boleh hidup bersendiri tanpa keluarga, kawan, sahabat, jiran dan masyarakat. Masyarakat atau umat yang tidak mementingkan hubungan silaturrahim adalah masyarakat yang tempang, tiada kekuatan dan jauh dari keberkatan di sisi Allah s.w.t.
sahabat yang ku sayangi,
Hidup bersilaturrahim atau saling kasih-mengasihi sesama Islam, keluarga, sahabat, jiran dan sesama manusia itu lebih banyak mendatangkan kebaikan dan merupakan hubungan yang membawa keberkatan hidup dan rezeki, membina keharmonian keluarga, sahabat, kejiranan dan juga masyarakat lebih besar lagi membentuk per-paduan dan harmoni masyarakat di desa, bandar sehingga boleh berkembang lebih baik dalam membentuk satu negara atau ummah yang kuat dan mantap. Kerana Nabi s.a.w. pernah mengingatkan betapa besarnya manfaat hidup bersilaturrahim itu, sabdanya yang bermaksud :
"Orang-orang yang mengasihani (orang lain) akan dikasihani Tuhan Yang Maha Pemurah. Sesiapa yang tidak mengasihani (orang lain), dia tidak akan dikasihani Tuhan".
Dalam Hadith yang lain pula, Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa akibat memutuskan hubungan silaturrahim itu adalah neraka atau tidak akan masuk syurga Allah s.w.t. Ini bersandar kepada mafhum sabda Baginda Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Orang yang memutuskan hubungan silaturrahim (hubungan kekeluargaan) tidak akan masuk syurga". (HR Bukhari).
Teramat banyak sekali amalan-amalan yang dianjurkan dan disunnahkan dalam Islam bagi tujuan menghidupkan atau menyu-burkan kehidupan silaturrahim dan bersaudara itu. Antaranya ialah menyebarkan atau saling memberi ucapan salam, bermaaf-maafan, kunjungan atau ziarah-menziarahi, memberi hadiah, bertegur sapa, bermuka manis, memelihara hubungan kekeluargaan/persaudaraan secara baik seperti menutupi cacat cela atau aib sesama saudara, jangan hanya nampak aib saudara tapi lupa aib dan kekurangan sendiri. Dan juga hendaklah menjauhi serta mengelak diri dari segala bentuk persengketaan, permusuhan, sifat-sifat keji hasad dengki, buruk sangka atau putus-memutus hubungan silaturrahim atau persaudaraan. Kerana perintah Allah s.w.t, Rasul-Nya dan ajaran Islam, sebagaimana sabda Baginda Nabi s.a.w. dari Anas bin Malik yang bermaksud :
"Jangan bersifat dendam, jangan dengki-mendengki, jangan bermusuh-musuhan. Hendaklah kamu jadi hamba Allah s.w.t yang bersaudara. Dan tidak dihalalkan bagi seorang Islam meninggalkan saudaranya (tidak menegurnya) lebih dari tiga hari". (HR Muslim).
Dalam al-Qur'an Allah s.w.t. pula mengingatkan bahawa umat Islam hanya akan bersatu atau boleh hidup dalam keadaan rukun damai bersilaturrahim dan bersaudara, bila umat Islam berpegang kuat dengan ajaran Islam. Firman-Nya yang bermaksud :
"Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah s.w.t (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai... (S. Ali 'Imran: 103).
Hidup bersilaturrahim dengan cara hubung-menghubungkan tali persaudaraan, saling ziarah-menziarahi, bantu-membantu, tegur-menegur, mengucap salam, bersefahaman, jemput-menjemput ke majlis kenduri, kahwin, majlis doa kesyukuran kelahiran cahaya mata, memberi hadiah, menjamu atau berkenduri-kendara dan sebagainya adalah antara amalan yang menyuburkan silaturrahim dan persaudaraan sesama keluarga dan Islam. Ketahuilah, amalan ini adalah suatu yang memang disyariatkan dalam Islam. Dan setiap amalan yang disandarkan kepada Islam atau berdasarkan ketentuan syariat Islam pasti ia akan diganjari pahala di sisi Allah s.w.t, dan ia juga merupakan satu ibadah.
Satu lagi, umat Islam hendaklah bijak memisahkan antara amalan adat dengan ibadat.
Amalan jimat dengan membazir ketika mengadakan majlis-majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran kelahiran cahaya mata, majlis khatam al-Qur'an, kenduri arwah dan sebagainya. Sehingga kita sekadar membesar-besarkan yang sunat, tetapi terlupa yang wajib atau melihat kecil perintah yang wajib.
Semoga kita dapat sama-sama menerapkan ajaran Islam secara lebih baik dan berkesan dalam kehidupan kita, keluarga, rumahtangga, anak-anak dan masyarakat Islam seluruhnya. Kerana Islam itu adalah agama tertinggi, mudah dan terbaik bagi orang-orang Islam dan beriman.
Maka marilah kita menggunakan ajaran Islam ini dalam kehidupan kita seharian dan bersilaturrahim, insya-Allah s.w.t hidup kita akan lebih diberkati dan dilimpahi rahmat Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment
komen jom