Resah. Gelisah. Seraut wajah termenung jauh. "Orang lain semua dah kahwin, tinggal aku seorang saja." Sekeping hati bermonolog. Monolog itu disusuli tujahan prasangka.
"Aku tak cantik ke?"
"Aku kurang bergaya ke?"
"Ataupun pasal gaji aku tak seberapa?"
"Aku tak pandai meng'ayat' agaknya."
Mungkin begitulah kerisauan yang memberat di minda muda mudi yang belum berpunya. Rasa rendah diri, stres dan gelojak rasa ingin memiliki membuatkan mereka berusaha memenangi hati dan memiliki seseorang tanpa mengenal batas halal dan haram. Yang penting, dapat. Jangan begitu.
Pilu hati ini melihat mereka yang merana kerana cinta. Pilu keranawalaupun mereka sudah merasai peritnya penangan cinta dusta, mereka masih tak mampu mengarah diri mencari cinta hakiki.
Tak serik-serik lagi. Diri diperhamba menagih cinta yang sementara hingga sanggup berkonflik dengan Pencipta cinta. Tak kenal dosa pahala.
Memang ana akui, sebagai remaja memang ada rasa ingin menyayangi dan disayangi kerana
ana juga seorang remaja. Tetapi ingat sahabat-sahabat sekalian, cinta sebelum kahwin itu hanya menjerumus ke lembah dosa dan zina. Jika mampu bertahan ke jinjang pelamin sekalipun, percayalah bahawa rumah tangga itu takkan berkat.
Apa tidaknya, asasnya dibina daripada dosa dan maksiat. Mana mungkin dapat menegakkan tiang taqwa yang utuh kecuali dinaik taraf dengan taubat. Rumah tangga akan menjadi tawar dan hambar. Semuanya dah dirasa dan terbiasa, nak rasa nikmatnya apa lagi? Anak-anak menjadi mangsa. Terimalah ia sebagai hukuman di dunia. Amat pedih. Namun, terlalu sedikit berbanding pedihnya hukuman abadi di negeri sana.
Ku hembus nasihat ini kepadamu wahai sahabat-sahabatku sekalian tanda sayangku tak terhingga. Bagi para gadis yang belum berpunya,andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.
Jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda untuk terus melangkah menggapai cita-cita. Usah peningkan kepala. Dia menguji anda sedikit masa lagi.
Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, "first thing first"(Ijazah> Kerjaya> Berbakti kepada Ibu Bapa> Berumah tangga). Utamakan yang lebih penting daripada apa yang penting. Kenali prioriti anda sekarang. Jika memang dah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan teruskan berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha tu anda memang dah betul-betul mampu dan sedia.
Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan pernah ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha!
Ingat, usaha yang Allah redha sahaja. Bagaimana? Dengan SMS siang malam? Atau bergayut di telefon memanjang? Atau ajak keluar dating, belanja makan? Begitukah? Tidak sama sekali.
Seringkali, seseorang mencari kekasih ibarat dia mendaki gunung yang tinggi. Pepohon berduri sanggup diredah, curam dan jurang sabar ditempuh. Namun, apabila dia memilikinya, didapati insan yang dikejar itu cuma dedaunan yang kering. Begitulah perumpamaan sia-sianya usaha yang tidak disalur dengan suluhan petunjuk al-Quran dan Sunah.
Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungkap nama di Luh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti, sama ada kita mendapatkannya cara mulia atau sebaliknya.
Wallahu'alam..
No comments:
Post a Comment
komen jom